Saturday, January 14, 2012

Tak bahagia jika tak kenal

Saya membaca bait-bait tulisan sebuah buku di tangan, sambil jari-jemari menaip keyboard. Saya sedang ingin mengenal Allah. Semoga saya tidak mati sebelum mengenal ALLAH, beriman dan beramal yang diredhaiNYA.
 
Cinta kepada ALLAH itu mententeramkan. Tenteram. Sangat-sangat. Sesungguhnya orang-orang beriman itu amat besar cintaNYA kepada ALLAH.(2:165)
 
Namun bukan mudah mencintai ALLAH. Apa lagi dicintai ALLAH. Saya tidak tahu nilai saya di sisi ALLAH namun berharap dan berusaha meraihnya. (Sebenarnya saya tahu….saya masih terlalu jauh dari peribadi mukmin yang dicintai ALLAH).
 
Saya dan kita semua pasti ada episod kecewa dengan cinta kasih manusia, namun sebenarnya kecewa itulah yang membawa kita mengenal dan mencari cinta ALLAH kan…? Sayangnya ALLAH pada kita, menukar cinta manusia yang sedikit dengan cinta ALLAH yang Maha Hebat.
 
“ALLAH tuhanku, bahkan kami menyaksikannya.”Al-A'raf.
 
Duhai hati, ayuh mengenal ALLAH. Tak kenal ALLAH, tak mungkin bahagia. Kalau ada, sedikit dan sebentar cuma.
 
Allah Maha Pencipta
 
Terima kasih ALLAH mencipta institusi bernama pernikahan. ALLAH yang mencipta jawatan suami dan isteri. Rumahtangga adalah medan murni beramal soleh bertemankan pasangan yang sama tidak sempurna seperti kita. Lelaki perempuan terlalu berbeza. Namun perbezaan yang dilakar ALLAH itulah yang menjadikan kita saling mengenal dan berkasih sayang. Ya ALLAH, bantu diriku mengenali dan memahami perasaan bakal suamiku dan siapa dia, agar mampu kami berkasih sayang menuju keredhaanMU.
 
Hanya ALLAH yang memberi rezeki
 
Terima kasih Ya ALLAH atas rezeki yang KAU kurniakan ke atas keluarga kami… Sesungguhnya rezeki bukan hanya wang, makan minum dan pakai, namun rezeki juga adalah cahaya hidayah, ilmu, akhlak yang baik, kasih sayang…ayuh diriku dan kita semua, berusaha keras mencari rezeki untuk sekeping jiwa hamba, bukan saja untuk fizikal. Sama-sama terus menghidupkan jiwa di perjalanan yang sukar dan jauh ini. Mohonlah rezeki cinta dan kasih sayang berpasangan dari ALLAH.
 
Segalanya kepunyaan ALLAH
 
Saat bersendiri, Engkau maha tahu ya ALLAH, diri sangat mendamba kehadiran seorang suami di sisi. Berkongsi kemesraan dan ketenangan. Namun bersangka baiklah wahai hati, bahawa ketiadaan seorang suami atas apa jua alasan di waktu ini, tika ini, adalah untuk kita makin menginsafi bahawa kita tidak milik apa-apa. Saat ALLAH menghantar seorang suami ke sisi, hargailah, berbuatlah yang terbaik kerana ALLAH. Lapanglah duhai hati, bahawa seorang suami yang disayangi akan bila-bila dibawa pergi.  Ku nantikan bakal suami ku yang kepunyaan ALLAH
 
ALLAH yang mengatur syariat
 
Jika diri mengharap bahagia, harus akur dan redha melaksanakan suruhannya dan menjauhi segala laranganNYA. Syariat ALLAH adalah sistem yang sempurna untuk kebahagian dunia dan akhirat. Jika diri tegar melanggar garisan dan sempadan yang diletak Sang Pencipta, bertaubatlah. Kembalilah kepada ALLAH. Terus dan terus membina ketaqwaan, kerana hanya pada taqwa ada jaminan kebahagiaan yang berpanjangan. Jadilah seorang wanita dan isteri yang beriman...
 
Takut dan berharap pada ALLAH
 
Azab seksaMu pasti pada manusia yang engkar dan derhaka. Namun, tertulis juga bahawa ENGKAU lah tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Peliharalah diriku, suamiku dan keluarga kami serta orang-orang beriman dari dicampakkan ke dalam kebinasaan yang berkekalan. Peliharalah jiwa-jiwa kami seperti mana ENGKAU memelihara jiwa hamba-hambaMU yang soleh. Duhai wanita, berharaplah kepada ALLAH kebaikan akhirat yang kekal abadi.
 
Seluruh dan sepenuh kecintaan hanya pada ALLAH
 
Kecenderungan hati yang mendalam ke dalam ALLAH, menjadikan hati wanita lembut dan tunduk kepada kebaikan. Fokus kepada ALLAH membantu melintasi duri-duri cabaran. Di akhir waktu, ALLAH tidak bertanya siapa suamimu, mertuamu, iparmu, madumu, temanmu – apa yang telah mereka lakukan kepadamu – namun ALLAH akan menilai apakah sikap, akhlak, ucapan dan tindakan diriku - adakah bersesuaian dengan keredhaan ALLAH. YA ALLAH ... bantulah diriku berkhidmat kerana ALLAH. Bantulah diriku bersyukur dengan segala nikmat kehidupan dan perkahwinan yang bakal aku tempuhi kelak, ntah bila. Bantulah diriku menolak keburukan dengan kebaikan. Kuatkanlah kesabaranku dalam bergaul dengan manusia dan godaan dunia.
 
Allah yang memberi manfaat dan mudharat
 
Rumahtangga kita tidak mungkin boleh dirosakkan sewenangnya oleh orang luar, perempuan lain, ipar duai, keluarga mertua atau sesiapa kerana mereka sama sekali tidak berkuasa. Jagalah dan suburkanlah kebahagiaan rumahtangga dengan bergantung sepenuhnya pada ALLAH yang Maha Bijaksana. Perbaiki hubungan dengan manusia, dalamkan cinta pada Yang Esa. Jika kita tidak menyerahkan bahtera rumahtangga pada DIA, siapakah yang akan mengemudinya? Syaitan dan sekutunya yang akan berkuasa dan berleluasa meruntuhkan mahligai cinta yang dibina.
 
Jika terpisah, yakinlah janji ALLAH, ada kemudahan setelah kesulitan. Bersangka baiklah, selautan rahmat dan nikmat akan mengganti musibah yang dilalui..ameen.  Kekuatan itulah membuat kan diri ku lebih tabah menjadi "SEORANG WANITA".
 
ALLAH yang melindungiku, dariNYA segala kekuatan
 
Sesungguhnya diri ini dalam titipan ALLAH. Engkaulah sebaik-baik penjaga. Bantulah diri ku untuk menjaga segala aturan dan syariatMU, agar ENGKAU selalu berada di hadapan kami untuk memberi bantuan dan bimbingan. Jagalah ALLAH wahai wanita, nescaya ALLAH menjagaMU..
 
Hanya ALLAH yang mampu menolong dan mengabulkan permintaan
 
Segala-galanya dari MU. Cukupkanlah diriku dari meminta-minta kepada manusia. Bantu diriku agar tidak membebankan hati ibu bapa dengan sesuatu di luar kemampuan dan keupayaannya. Balaslah kebaikan ibubapa dan insan-insan yang menjadi wasilah bantuanMU kepadaku Ya ALLAH. Banyak yang telah ku minta dari MU, dan akan terus meminta, berikan aku redha akhirnya. RedhaMU. Bantu aku berusaha wahai teman.
 
Sesungguhnya ALLAH sentiasa mendengar dan memahami segenap bisikan hatiku
 
Pasang surut perasaan ini, hanya Tuhan yang tahu. Kesedihan dan senyuman ini, hanya ALLAH yang mengerti. ENGKAU yang menjadikan kami gembira dan berduka. Luruskan perasaan ini dan perasaan teman hidup yang kami kasihi, agar sentiasa dalam petunjuk ALLAH dan Rasul. Lindungi hati hamba-hambaMu ini dari dikuasai syaitan dan nafsu.
 
Ya ALLAH sungguh tidak berhenti KAU menguji hambaMU ini dengan ujian kesenangan dan kesusahan… Bantu diriku ya ALLAH untuk lulus dan terus istiqamah beriman. Sesungguhnya dunia adalah medan ujian.
 
ALLAH adalah tujuan kehidupan, yakinlah hari akhirat yang menungguku
 
"oXoXo, kenapa orang yang bukan islam kelihatannya melalui alam pernikahan yang menggembirakan, sedangkan mereka tidak beriman kepada ALLAH…"
 
"Kerana cinta mereka hanya di dunia…sedangkan kita mengharapkan cinta dan perkahwinan ini berterusan hingga ke syurga…"
 
Berlinangan air mata....Sesungguhnya niat dan pengakuan ini akan terus diuji dan diuji...!

No comments:

Post a Comment