Sebenarnya, dalam hidup ini perkara yang benar itu mudah.
Semudah kita kata kita buang air besar (ala, berak) akibat sakit perut yang menggila. Lepas buang, kita akan puas hati disebabkan perut yang menyucuk sudah sihat kembali. Senyum. Kita suka hati. Begitu juga dengan sesuatu kebenaran yang indah bila kita dapat tahu dan mampu berjalan tegak tanpa ada sekelumit duka.
Begitulah hakikatnya.
Ala, perasaan itu lebih kurang serupa apabila kita dapat berbual dengan kekasih lama tanpa sedikit pun punya rasa, menyindir satu sama lain dengan kisah silam tanpa berdetak nakal si jantung saga dan akhirnya, permasalahan yang pernah timbul hilang begitu sahaja. Sebab kita tahu, itu cerita lama. Cerita kita dan dia sudah tiada. Dah lama mati ditelan masa.
Satu demi satu halaman dibuka.
Masih dalam norma, keperluan itu tidak perlu apabila dihidangkan dengan kenaikan satu demi satu frasa yang buat mata tertancap, telan air liur dan ketuk kembali badan supaya jangan kaku. Ah, perasaan itu boleh diibaratkan, kita menyimpan perasaan yang hebat pada seseorang, tetapi akhirnya kita sedar bahawa dia ada yang punya. Kita tahu selama ini tapi cuba untuk buat tidak endah. Padahal, menyeksa hati sendiri. Batin rasa serupa macam neraka. Panas. Sakit. Ngilu. Tapi tahan sahaja. Kononnya penantian akan berbaloi. Katakanlah semuanya akan berbalas juga. Aneh, itu khayalan bodoh yang tidak terlaksana...
Peneman saya...
Mula-mula kita akan rasa nak hentak kepala.
Lepas itu kita mula membayangkan perkara yang pernah terjadi di antara kita.
Disusuli dengan kenangan yang entah apa-apa : panggilan telefon, kunjungan raya, pesanan ringkas yang panjang berjela, perbualan di hadapan komputer riba selama berjam lamanya dan sebagainya.
Tapi akhirnya, kita akan tersentak dan tahu itu sebenarnya hanya satu aktiviti biasa.
Perbuatan lazim manusia.
Atas nama persahabatan.
Sahaja.
Mata nak merah.
Pipi nak panas.
Bibir nak kering.
Gigi nak ketap.
Mulalah mata nak bergenang air mata. Tahan dari tumpah. Pujuk diri dengan ayat penuh berbunga. Beritahu diri bukan semua benda yang kita mahukan akan dapat seperti yang dihajatkan dalam doa. Mimpi setiap malam itu hanya mainan tidur akibat terlampau memikirkan manusia lain dan bukan diri sendiri yang lebih utama. Kegembiraan yang dinikmati itu hanya sementara - disusun dalam kelopak mata agar tidur malam lebih enak, lebih ceria dan senyuman akan terukir sehingga telinga.
Tapi itulah.
Benda itu imaginasi semata.
Khayalan seperti tarikan dadah yang membawa terbang entah ke mana.
Lebih kurang serupa.
Lepaskan ketawa.
Nafas dihela panjang dan lepaskan ketawa.
Lagi sekali dia hanya mahu hembus keluar tenaga gembira.