Wednesday, June 29, 2011

Apa yang Allah nak tunjukkan...

Jawapan kepada soalan "Apa yang Allah nak tunjukkan?" kini terjawab.

Allah menunjukkan bahawa Dia adalah Tuhan dan kita adalah hambaNya. Allah menunjukkan bahawa Dialah yang berkuasa, Dia menentukan segalanya. Allah menunjukkan bahawa sangkabaik dan keyakinan kita kepadaNya tidak disia-siakan.

Apabila Allah mengambil orang yang kita sayang, Allah menunjukkan bahawa kasihNya mengatasi kasih kita. Bagaimana besarnya kasih kita pada anak, kita tidak mungkin mampu memberi sebaik yang Allah sediakan untuknya di alam sana. Di sana dia tidak lagi merasa sakit, sedih atau lapar.

Maka akurlah kita apabila Allah menganugerahkan anak, itu adalah amanah. Anugerah anak yang sihat, comel dan sempurna bukan untuk dibanggakan, dan anak yang tidak sempurna bukan untuk dikesali. Usah bermegah dengan kehebatan anak kerana kita tidak dapat merasa kesedihan ibubapa yang memiliki anak tidak sempurna....

Usah terkilan dengan kekurangannya kerana kita tidak tahu apa anugerah yang Allah sediakan untuk kesabaran kita menerimanya.

Anak bukan milik mutlak ibubapanya. Tukarlah rasa bangga atau terkilan itu dengan syukur dan redha.

Allah tidak akan berhenti menguji hambaNya. Sebentar kita gembira, sebentar kita berduka. Semua manusia diberi samarata. Bezanya mungkin bagaimana kita mencari jawapan kepada "Apa yang Allah nak tunjukkan?"

Kasih Allah akan menggunung buat orang yang bersangka baik kepadaNya setiap ketika pada setiap ujian. Kita hanyalah hamba yang diberi status sebagai khalifah di bumi Allah dan kita tidak punya kuasa apapun tanpa izinNya.

No comments:

Post a Comment