Thursday, June 23, 2011

Time and me

Coretan dari hati..May 12, 2011, Kota bumi inggeris...

Allah!!!, entah mengapa ungkapan itu terbit tiba-tiba dari lidahku, mungkin inilah yang dikatakan fitrah seorang hamba yang memang tidak berdaya dan sentiasa mengharapkan limpahan kekuatan dan keinginan dalam meneruskan perjuangan yang semakin hari ku lihat semakin sukar.

Memang sejak kebelakangan ini hatiku membentak tentang tugasan yang padat menghujani aku satu persatu.

Jiwa yang dulunya tampak gagah kini meronta-ronta untuk dilepaskan dari segala bebanan ini.

Bukan aku tak mahu, tapi entahlah inilah kali pertama aku merasakannya dan semangatku kian padam dan semakin menghitam...

Andai kita berkawan rapat dengan orang-orang yang baik dan soleh, insyaAllah ia akan membantu kita untuk menjadi seorang yang baik.

Jika kita berkawan rapat dengan orang-orang berjaya, insyaAllah suatu hari nanti kita juga akan berjaya.

Selain itu, kita tidak boleh membiarkan masa lapang kita dihabiskan dengan perkara-perkara yang tidak bermanfaat.

"Jika kita tidak disibukkan dengan urusan kebaikkan, nescaya kita akan disibukkan dengan urusan kebatilan." - Hassan Al-Basri

Sampai ke tahap ini, nafsu itu akan menjadi tenaga penggerak atau kenderaan (kuda tunggangan) kepada manusia. Umpama, racun pada ular senduk – di situ ada racun, di situlah juga ada penawarnya.

Sebab itu ditegaskan berkali-kali bahawa nafsu itu bukan untuk dihapus tetapi untuk diurus.

Jika diuruskan dengan baik, nafsu akan membawa kepada kemajuan rohaniah dan material dalam kehidupan.

Nafsu seks yang diurus melalui pernikahan yang sah, akan memberi ketenangan, keberkatan dan rahmat dalam diri suami dan isteri. Ia juga meneruskan kesinambungan zuriat yang akan menjadi tenaga penggerak kepada pembangunan ummah.

Begitu juga nafsu makan yang terurus, akan memberi tenaga untuk beribadah dan menyebabkan terbentuknya jaringan perniagaan, industri makanan, hub halal, inovasi dan teknologi makanan dalam bidang bioteknologi dan sebagainya.

Manusia yang dibekalkan dengan unsur nafsu inilah yang menjadi sebab mereka dilantik menjadi khalifah di muka bumi – bukan malaikat, kerana dengan nafsu makmurlah muka bumi ini dengan pembangunan yang bersendikan hukum Allah.

Sebaliknya, malaikat tidak mempunyai potensi ini kerana mereka sepi daripada sebarang keinginan dan rangsangan. Namun, jika nafsu tidak terurus manusia akan jatuh ke tahap yang lebih hina daripada haiwan (makhluk nafsu tanpa akal).

Jangan menoleh ke belakang... tempuhlah jalan mujahadah.

Itulah jalan yang penuh saadah (kebahagiaan). Walaupun itu adalah jalan yang payah, tetapi itulah jalan yang paling mudah.

Tidak ada jalan pintas!

Bibir diketap. Hatiku sayu mengenangkan dosa-dosa. Akhirnya, titisan jernih mengalir jua di pipi wanita ini. Lama sudah aku membelakangi Allah dan hanya menjalankan perintahnya yang WAJIB sahaja..Ya Allah, ampunilah aku.

Biar jasadku keluar mencari anugerah Allah di atas muka bumi, tapi jangan sekali-kali membiarkan hatiku melayang hilang terputus daripada pergantungan kepada Ilahi.

Jangan sekali-kali memisahkan dunia daripada Tuhan, dan meminggirkan Tuhan dalam segenap kehidupan.

Padahal Allah tak memerlukan kita, kita yang memerlukan-Nya.

Ya Allah, ampunkanlah aku yang hina ini. Tak tertahan rasanya Ya Allah dugaanMu ini. Ku pohon ya Rahman, jadikanlah cintaMu itu lebih aku hargai daripada dunia dan seisinya. Ya Jabbar, sesungguhnya aku memohon cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cintaMu.

Ya Rahim, apa saja yang Engkau anugerahkan kepadaku daripada apa yang aku cintai, maka jadikanlah ia kekuatan untukku mencintai apa yang Engkau cintai. Dan apa saja yang Engkau singkirkan daripada apa yang aku cintai, maka, jadikanlah ia keredaan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai.

Jadikanlah cintaku kepadaMu lebih aku utamakan daripada cintaku kepada keluargaku, diriku sendiri dan dunia seisinya. Hidupkanlah aku dengan cintaMu dan jadikanlah aku bagiMu seperti apa yang Engkau cintai.

Ya Allah, jadikanlah aku mencintaiMu dengan segenap cintaku dan seluruh usahaku demi keredhaanMu. Aku memohon perlindunganMu daripada cinta yang sia-sia. Aku hambaMu yang lemah ya Rabb. Tak mampu menolak ujian hati sebegini andai tiada bimbingan dan kekuatan daripadaMu.

Ucapan taubat itu benar-benar ikhlas dilafazkan. Rintihan taubat menjadikan seseorang hamba dapat mengecapi hidup dengan penuh rasa yakin serta bebas daripada perasaan putus asa. Dosa adalah penyakit dan istighfarlah syifa'nya. Bagi mengelakkan hati menjadi lalai maka dengan istighfar, insyaAllah, berupaya menjadikan seseorang hamba semakin menebal takwa dan imannya. Itulah yang cuba dilakukan Nur Izzati - Cahaya Kekuatan Ku.


******

Sebulan sudah berlalu. Masa berjalan begitu pantas. Udara sejuk bumi London mengelus lembut pipi ini. Terasa baru semalam kaki memijak bumi orang putih ini. Rasa baru semalam berpisah dengan mama, ayah, adik-adik dan semestinya dia.

Terbangnya aku ke bumi London ini untuk menyambung tugasku di sini.

Aku melihat ke luar tingkap. Sekarang ini sejuk dgn kedinginan. Tergelak aku tatkala mengingatkan dirinya yang sangat teruja melihat salji pertama kali di depan mata.

Terasa sejuk, aku mengenggam tangan. Asap nipis keluar daripada mulutnya. Pandangan mata tumpah pada sesuatu di jemari kanan. Bibir mengukir senyuman manis.

Ya, aku tidak keseorangan di bumi London ini. Ada teman-teman yang menemani dan seorang lelaki yang halal untuk dicintai. Benarlah, sekiranya cinta sebelum nikah itu betul-betul dipelihara, kemanisannnya akan sangat dirasai setelah bernikah.

Ada hikmahnya mengapa aku diuji dengan ujian hati dulu dengan lelaki yang selalu bercakap tentang agama, bercakap tentang ilmu-ilmu tafsir dan sebagainya, rupanya dia rakus dan syaitan bertopengkan manusia yang merosakkan kaum hawa ku sendiri dan pembunuh makhluk pemberian Allah kepadanya, dengan tanpa rasa bersalah dan malu dan Allah terus memberikan dia kebebasan dan mungkin Allah tahu di mana pembalasan yang akan dijatuhkan kelak, wallah’hualam.

Masa berlalu dengan pantas, perkenalan yang pada mulanya berasaskan isu Islam, semakin hari semakin melencong kearah maksiat.

 Dia samping menceritakan agama, tanpa aku sedar, dia turut menggunakan agama sebagai wadah untuk menjeratku. Betapa kerdilnya aku waktu itu kerana tidak dapat membezakan yang hak dan yang batil.

Aku sudah memaafkan kesalahan **R*** sementelah dia tidak pernah memohon maaf daripadaku. Lebih elok aku berlapang dada berbanding aku menyimpan dendam.
 

Aku sudah mula merasai kemanisan daripada taubatku.

Betapa jalan hidup yang aku pilih selama ini adalah jalan yang terpesong daripada akidah yang dituntut dalam Islam.

Aku sangat bersyukur kerana Allah masih memberi aku hidayah untuk kembali ke jalanNya.


Terima kasih Ya Allah ke atas keagunagan cinta yang Kau curahkan pada hati ini.

Terima kasih juga kerana telah memberi mimpi yang menginsafkan diriku.

Tidak sesekali aku lupakan mimpi yang memberi peringatan agar aku kembali ke jalanMu. 

Terima kasih Ya Allah.

Kini aku lebih berhati-hati selepas itu agar cintanku tidak dilempiaskan pada yang sia-sia.

Dari dia kini…

Sayangku, si manis.

Ingin aku layangkan setitip pesanan buat diri mu dan juga diri ku ini. Kita hanya menumpang hidup di dunia Allah yang fana ini. Dunia ini umpama kita berjalan di dalam hutan yang penuh dengan duri-duri yang tajam serta binatang buas yang sering kali kita tidak sedari. Kadang kala kita alpa dengan keindahan dan ketenangannya. Lupa pada bahaya yang setia menanti di hadapan sana. Jika kita tidak berhati-hati, kita akan terluka di cucuk duri-duri tajam yang berbisa itu. Kau akan merintih dan mengaduh kesakitan.Menangis dan mengharapkan pertolongan.

Sayang, kita harus berhati-hati kerana terdapat banyak binatang buas di dalam hutan yang sedang kau lalui itu. Mereka hanya menunggu masa untuk menyerang mangsanya. Andai kata kau tersilap langkah, kau akan diterkam dan dibaham oleh binatang-binatang itu. Begitulah jugalah kehidupan kita. Dalam mengharungi hidup yang penuh dengan ranjau berduri, kita sering berhadapan dengan masalah yang sering meyesakkan jiwa dan minda kita.

Kadang kala masalah itu sendiri meragut ketenangan hati sesorang insan. Fikiran melayang entah ke mana dan jiwa itu tidak pernah tenteram. Mulalah fikiran negatif berlegar-legar di minda. Pelbagai soalan bermain di benak fikiran.Hati tidak keruan memikirkan masalah. Insan yang lemah itu mula melupakan pada Penciptanya yang Maha Esa. Lupa segalanya.

Janganlah kau menjadi seperti itu. Jangan kau lupakan siapa yang mencipta dirimu dan apa tawajuh kehidupan kau sebenarnya sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini. Hilangkanlah segala kesedihan. Kau pujuklah hatimu dengan janji Ar-Rahman. Sesungguhnya kau akan berasa lebih tenang. La Tahzan, wahai sayang!

"Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." (Surah Ali Imran:139)

Wahai sayang,

Aku mengerti apa yang kau rasakan di dalam hatimu itu. Jiwa kau terhimpit dengan penyesalan. Kau berasa gusar di atas kealpaan kau suatu ketika dahulu. Dirimu dipalit dengan dosa-dosa hitam. Aku sering mendengar kau merintih pada Allah s.w.t. tatkala kau berteleku di tikar sembahyangmu. Menangislah kerana Allah s.w.t. Jika kau mengalirkan airmata keinsafan, itu amat bermakna buatmu. Cara itu mampu mendekatkan kau dengan-Nya. Mintalah pada-Nya keampunan dan kemaafan. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Maha Pengampun. Ambillah iktibar dari firman Allah s.w.t ini;

"Wahai anak Adam, selagi engkau meminta dan berharap kepada-Ku maka Aku mengampuni segala dosamu yang telah lalu, dan Aku tidak akan mempedulikannya. Wahai anak Adam, jika dosamu sampai setinggi langit lalu kau meminta ampun kepada-Ku nescaya Kuampuni. Wahai anak Adam, jika kau datang kepada-Ku dengan kesalahan seluas permukaan bumi lalu engkau menemui-ku tanpa menyekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku datang padamu dengan keampunan seluas bumi pula."(Riwayat Al-Tarmizi no: 3534 dan Al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah)

Jadikan kisah silammu itu sebagai pengajaran yang bermakna dalam hidup. Sematkanlah di dalam hati supaya kau tidak akan sesekali mengulanginya lagi. Berpegang teguh pada tali agamamu. Ingatlah pada ajaran Islam. Rasul bermadah bahawa "Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya."

Kau harus ingat sayangku. Kau amat beruntung dilahirkan dalam Ad-Din yang sempurna ini. Teruskanlah dengan membasahi bibirmu yang mungil itu dengan zikrullah dan kalamullah serta bermunajatlah pada Allah. Percaya dan yakin bahawa Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan mengurniakan maghfirah buat dirimu, sayangku. Kita adalah hamba yang lemah dan sering melakukan kesilapan. Kesilapan akan menguatkan diri kita.

Akhir kali ingin aku katakan, berusahalah sedaya yang kau mampu dan letakkanlah penggantunganmu kepada Allah.

Dari, Insan yang menyayangi dirimu

Terima kasih sayang…utk pesanan itu

Duhai diriku, ingatlah Allah di mana-mana saja, nescaya Allah tidak sekali-kali melupakanmu. Sujudlah pada Allah, berlindunglah dari segala kejahatan yang nyata mahupun tersembunyi, dari kejahatan seluruh makhluk dan paling penting, berlindunglah pada Allah daripada kejahatan diri sendri. Memang perit bermujahadah itu tapi yakinlah, perjalanan yang sukar pasti ada hikmahnya.

Wahai jiwa yang sentiasa menyesali diri, di ceruk manapun kau berada, apakah kau merasa bebas daripada pengawasan Allah?

Dalam keadaan manapun kau berada, adakah kau merasakan Allah tidak mengetahui isi hatimu? Sombongnya engkau tatkala kau pergi memalingkan wajahmu daripada Ilahi.

Sedangkan Dia tak pernah menutup pintu taubat bagimu.

Maka wahai manusia, kembalilah kepada Tuhanmu. Jika kau tak temui jalan, carilah... Kau tidak bertemu kerana kau tidak mencari.

Bersabarlah...
Biarkan Allah yang mengatur segala...
Semuanya akan baik-baik saja...
Semua Akan Indah Pada Waktunya...

~nukilan yang jauh terbang melayang baru sempat ku titipkan buat bacaan semua~

1 comment:

  1. What ever things happened..bygone
    Lancar pena saudari menulis rapat tentang sebuah kehidupan..Ya Allah begitu gagah dan kuat wanita ini. Terlalu sejati..bak kata bait-bait lirik lagu SEARCH. Aku kenali wanita ini sejak sekian lama aku bertugas bersama dia. Tiada sikit pun wajah kerisauan dalam kehidupan cerita dia, padahal terselit satu cerita yang tak semua tahu..tapi dia pernah kongsikan pada kami, kenapa ada lelai yang sanggup menjaja perihal maruah dirinya yang sedangkan lelaki itu sendiri tak sedar yang dia sedang menjual maruah dirinya dan keluarganya...airmata jernih wanita ini buat kami kagum sebenarnya, ada senyum disebalik airmata dia. Aku ingatkan pada dia, WANITA BUKAN SEKADAR HIASAN DUNIA DIK..senyum ye Nur Izzati :)

    Reka'

    ReplyDelete