Wednesday, August 10, 2011

Lumrah

Bukan semua benda yang kita mahukan dalam hidup akan menjadi milik kita. Lumrah yang perlu kita akui walaupun hakikatnya, siapa sahaja yang dapat mengekang nafsu diri daripada perasaan mahukan lebih daripada apa yang ada di depan mata. Ya, boleh, tapi berapa ramai sahaja?

Dalam hidup kita, sentiasa ada sahaja cabaran, dugaan serta pelbagai rintangan yang menghalang, tetapi bagaimana cara mahu mengatasinya, itu yang perlu difikirkan. Duduk diam sejenak. Berfikir. Memerhati. Mencari jawapan persoalan.


Dan itu yang menjadikan dia sebagaimana hari ini.
Dia yang merasakan hidup dia bagaikan sebiji bola.
Ya, walaupun sentiasa ditendang, dibaling dan dicampak ke sana sini, tujuan dia cuma satu, dia mahu sampai kepada sasaran.
Memenuhi impian.
Dia mengakui bahawa hidup di dunia nyata sebenarnya sukar.
Bukanlah dia mahukan hidup di alam maya yang dia tidak gentar.
Cuma, dia tahu hidup ini bukan alam khayalan setiap malam membaca buku bergambar.
Bukan cerita dogengan di belakang pokok ada taman indah walaupun dipenuhi belukar.
Tiada si kenit yang bergurau kasar.
Tiada kasut kaca yang bikin keluarga jadi nanar.

Ini hidup sebenar.
Sebab itu dia mengerti dia selayaknya memerhatikan sahaja.
Sudah terang dan jelas, dia tahu manusia dapat apa yang pernah mereka berikan sahaja.
Hidup dia sudah ditentukan sejak ditiup nyawa.
Cuma adakah dia cukup berusaha?
Ya, dia ada mimpi yang dia pilih sendiri untuk bahagia.
Dan dia sendiri sudah membuat keputusan apa yang dia mahukan untuk gembira.
Hidup disulami gelak ketawa.

Dia mahu terus perhatikan segala benda yang terlepas daripada genggaman.
Bukan, langsung tiada rasa rindu pada kenangan.
Cuma dia mahukan itu sebagai penguat dia teruskan perjalanan.
Ya, mengejar harapan.
Membajai impian.
Sebab dia mengerti bahawa hidup ini - dia yang tentukan.
Tidak salah menongkah arus sekali sekala.
Walaupun ramai orang bising, menghina, mencela.
Sebab dia dengan mudah akan mengingatkan, kapal terbang juga menongkah angin bila berlepas ke udara.

Nota Kaki :Dihimpit kesibukan sehingga terlupa akan kesihatan diri. Petanda kurang baik.

Bila manusia mula (dan akan) bercakap tentang diri kita, abaikan sahaja mereka. Kerana kehadiran kita sebenarnya memberikan kesan dalam hidup mereka, walaupun mereka langsung tidak menjejaskan kita.

No comments:

Post a Comment