Friday, July 8, 2011

Penuh dan Sesak

Hidup ini kadangkala terlampau banyak warna.
Penuh dan sesak hingga kita mahu memilih satu warna sahaja.
Warna yang menggambarkan siapa diri kita.
Benda yang melambangkan perasaan kita


Hati mula tercalar, sedikit demi sedikit dengan kehadiran orang yang dahulunya pernah menghuni marga sang kekasih pujaan jiwa. Satu demi satu calar mula tertusuk hingga mengalirkan darah merah. Luka kering, tinggal calar serta parut hodoh sebagai hiasan hati yang sudah sakit melata.

Satu.
Dua.
Tiga.
Izinkan berkongsi cerita seorang manusia.
Dia teman, dia sahabat yang aku mahu gembira.
Malangnya, di hatinya mula terdapat palitan duka.
Sakit dan terseksa.
Jiwa.

Dia gadis yang terlampau rapuh. Mencari kegembiraan sendiri bukanlah mudah. Sering terluka akibat memendam rasa dan tatkala dia mula kuat membina hidup dan kerjaya, hati mula disinggahi cinta manusia. Hidup yang selama ini diabadikan buat keluarga semata-mata sudah mula dibuka kepada seorang lelaki yang mencuri jiwanya. Bahagia dan senyum sentiasa dengan keadaan yang mula lain daripada biasa.

Entah kenapa, kegembiraan yang sentiasa dia syukuri itu mula terjejas dengan kehadiran bekas kekasih hatinya. Wanita itu muncul dan mula buat dirinya resah. Dia percaya lelaki itu, percaya dengan janji dan luahan cinta tetapi sejak wanita itu hadir, kelibat lelaki itu sudah hampir tiada dalam setiap hari yang dilaluinya. Tidak seperti selalu, lelaki itu akan ada dan mereka saling bertingkah cerita. Tapi sejak beberapa waktu, benda itu sudah tidak lagi berlaku. Masa seakan beku.


Apakah lelaki itu hanyut bersama bekas kekasihnya?
Apakah lelaki itu sudah lupa akan janji mereka bersama?
Apakah hatinya yang bersangka buruk hingga hampir nanar dan gila?
Entah, dia tiada jawapan walau berfikir pecah kepala

Gadis, aku mahu kau kuat.

Aku mahu kau terus tabah.
Ini ujian kecil yang harus kau tempuh bila sudah mula masuk fasa cinta.
Itu hakikat yang hidup tidak selamanya indah.
Ia kenyataan cinta tidak semestinya bersama.

Senyum.

Kalau air mata itu masih mengalir, tolong seka.
Dongak ke atas, pandang langit dan air mata itu pasti akan berhenti dari terus keluar ke wajah.
Betul kawan.
Kalau kau tak percaya, kau boleh buat.

Nota Kaki :
1. Langit seakan mengerti apa yang berlaku saat ini. Hujan mencurah lebat tanpa henti dan matahari hanya menjenguk sesekali. Nampaknya Helios dan Lucifer saling bertingkah siapa lebih layak menunjukkan wajah kepada manusia.
2. Tanggungjawab semakin berat dan aku suka dengan keadaan diri yang lebih kenal apa yang aku mahukan dalam hidup tatkala ini. Sesuatu yang tidak diduga berlaku dan kini, dalam proses mencari jawapan kepada persoalan yang membelenggu.

....Kalaulah kau tahu senyuman yang terukir sentiasa di bibir adalah untuk siapa, dan kalaulah kau mengerti gerak serta isyarat tubuh membawa maksud dan pengertian apa. Ah, manusia sering kali hilang keupayaan merasa apabila tiba saat waktunya. Diam, kulum kesakitan, hamburkan ketawa

No comments:

Post a Comment