Kamu pernah datang.
Kamu pernah pergi.
Kamu pernah membajai hati.
Tanah yang gersang dan terbiar pernah kamu terokai.
Kamu pernah membawa sinar harapan.
Kamu pernah menyajikan kasih yang tidak mungkin sirna.
Kamu hamparkan segunung impian, menyiram sejuta mimpi indah berseri cita.
Walaupun hakikatnya kamu membunuh dengan lebih kejam seperti sebelumnya.
Kini kamu datang lagi.
Pintu yang tertutup cuba kamu buka semula.
Kata kunci, kata laluan utama menjadi taruhan kamu kembali ke kamar indah.
Kamu menjerit mahu membaca semula.
Kamu melaung mahu menulis semula.
Kamu meminta untuk memadam semua cela.
Kamu buat aku ketawa tatkala kamu muncul lagi.
Pasangan berlainan jantina masih mengerumuni.
Kamu dambakan sebutir kemaafan dan bertanya adakah layar mampu dinaikkan kembali.
Mungkinkah bahtera gagah mengharungi lautan yang tidak bertepi.
Itu mimpi.
Mimpi yang kamu sangkakan satu realiti.
Itu ilusi.
Ilusi yang kamu letakkan di mata kamu yang tidak mahu berubah.
Itu tetap kamu.
Walau masa berlari pantas.
Walau takwim bertukar ganti sambil tangan pantas merenggut helaian, kamu tetap begitu.
Kata-kata yang terhambur hanya uji kaji.
Hanya racun yang sembunyi di sebalik manisan asli.
Jangan pernah datang kembali.
Tempoh masa untuk menuai hasil sudah berhenti.
Masa membeku.
Hati tertutup.
Mata padam.
Kamu mati.
Pasti.
Jangan datang kalau kamu tidak pasti dengan hati sendiri.
Jangan kembali kalau ada lain masih bergalang merantai setiap langkah yang kamu aturkan dalam hidup di dunia ini.
Kamu hanya bakal rosakkan apa yang dibina saban hari.
Pergi!
Jangan kembali.
Minggir dari sini.
Satu kelopak demi satu kelopak gugur ke Bumi.
Kaup dengan tangan kiri.
Tumpahkan ke dalam tong sampah di tepi.
Biarkan diri diulit sepi.
Kerana kau manusia yang paling tidak diingini.
Kini.
No comments:
Post a Comment