Salam sejahtera buat seluruh muslimin dan muslimat
Ramadhan akan kembali lagi pada tarikh 1 August 2011. Setelah setahun menyepi dari suasana kehidupan kita yang huru-hara dibalik tenang, dalam diam, Ramadhan kembali menggamit jiwa seluruh umat Islam sejagat. Syukur dipanjatkan pada Illahi akan rahmat kebesaran-Nya.
Dan tanpa putus asa, kita meneruskan perjuangan menahan lapar dan dahaga, dan lebih-lebih lagi, pelbagai hala tuju emosi hati yang sentiasa mengajak kita ke arah kemungkaran dan kelalaian, a.k.a nafsu nafsi.
Ini mungkin berlaku akibat dari kelesuan di siang hari, mungkin juga akibat gangguan persekitaran yang menewaskan kita di lapangan perjuangan untuk memperolehi rahmat-Nya. Walau apa jua yang mendatang, sentiasalah kita berdoa memohon kepada-Nya agar diampunkan segala dosa besar dan kecil yang lalu, yang sedang dan yang mendatang, mohon ketenangan jiwa yang khusyuk, dipermudahkan segala urusan dunia akhirat, ditetapkan hati pada jalan-Nya yang lurus, dan sentiasa memohon agar dipelihara dan diredhai oleh-Nya, yang Maha mengetahui akan setiap segala sesuatu.
Pasar-pasar Ramadhan di setiap ceruk negeri bakal memeriahkan selera untuk berbuka puasa. Keluarga, rakan dan taulan kembali bersama mengeratkan hubungan silaturrahim, setiap ruang bertukar wajah menambah seri persiapan di Aidil Fitri. Tidak lupa juga buat kumpulan jemaah yang menerangi ruang-ruang mesjid bersama-sama para malaikat yang seiring sujud menyembah Yang Satu.
Ambillah peluang terbaik ini untuk menjelaskan apa yang terkias, menyucikan semua yang kotor, menyuratkan setiap yang tersirat, menyelesaikan segala yang tertunggak, bermohon dihiaskan hati, ucapan dan perlakuan dengan keikhlasan yang tulus demi kebaikan dan kebahagiaan insan yang sejati.
Jalanilah kehidupan dengan penuh kesyukuran, kesabaran, dan ketaqwaan. Majulah sukan untuk negara.
Wallahua'lam & Wassalam.
Selamat Berpuasa Buat Semua Umat Islam...buat keluarga yang jauh di mata, ti rindu mama, ayah, adik-adik dan semuanya..salam kasih dan sayang dari jauh...
No comments:
Post a Comment