Tuesday, July 12, 2011

Hmmm....

Hilang.

Cubaan melepaskan diri daripada segala kesakitan batin menunjukkan hasil yang dia sendiri lebih tabah daripada yang dahulunya. Kali pertama kesakitan itu datang, dia menghadapinya dengan tegar seperti punya pengalaman walaupun dia sebenarnya berdiri megah disebalik kasih sayang manusia-manusia yang bertanggungjawab memberikan dia kasih sayang serta melayakkan dia hadir ke dunia untuk menjadi seorang insan.

Tujuh hari masa yang dia peruntukkan untuk kembali pulih sepenuhnya pada kali pertama belati menghentam diri apabila emosi yang penuh warna tiba-tiba dicurahkan dengan warna hitam seluruhnya. Penat mahu mencuci dan meninggalkan kekotoran yang ternyata, dia terpaksa kerah segala kudrat dan tenaga untuk kembali mencapai warna asas dalam kehidupan manusia - putih bersih, lambangan jiwa yang terpaksa disalin bagaikan kanvas baru tanpa warna.

Dalam diam, dia menongkah arus.

Buang segala kelemahan diri yang menyebabkan dia diinjak sesuka hati. Tidak, dia benci apabila manusia sekeliling mendiskriminasi. Melalui fizikal, melalui jantina atau apa sahaja dia hanya akan senyum dan ketap gigi. Teruknya manusia yang membandingkan manusia lain dan mewujudkan sistem perbezaan laksana taraf dan kasta hanya disebabkan fizikal ataupun jantina. Ah, kekayaan atau kesenangan serta kecantikan itu hanya pinjaman dunia yang manusia-manusia teruk itu juga berhutang seperti dia.

Aneh mereka.

Dia percaya, dengan menjadi diri sendiri, dia sebenarnya lebih kenal dan tahu sikap manusia yang mahu membunuhnya dalam diam - serta meninggalkannya mati perlahan, mencungap mahukan udara.

Perempuan lemah.
Perempuan hanya pandai menangis.
Perempuan hanya tahu merajuk bila keinginan tidak dipenuhi.
Perempuan itu, perempuan ini.
Segala kenyataan itu dia sudah lali.

Perempuan buat hati ceria.
Perempuan buatkan hati gembira.
Perempuan menjadikan setiap lelaki nanar dengan cinta.
Perempuan bisa menggoncangkan iman, jiwa dan dunia.
Ah, segala kenyataan itu juga sudah basi.

Perempuan baik untuk lelaki baik.
Perempuan jahat untuk lelaki jahat.
Mustahil perempuan baik akan bersama lelaki jahat.
Mustahil perempuan jahat akan bersama lelaki baik.
Hakikatnya, dia sudah nampak lebih daripada itu semua.
Kenyataan benar dunia yang kadangkala buatkan dia alpa dalam mencari apa yang sepatutnya.
Aneh, dia hanya suka membaca.
Dan merenung jalan cerita.

Seorang lelaki berjiwa perwira (katanya sendiri) berkata…perempuan seperti dia hanya akan mampu menjadi pilihan terakhir apabila sudah tiada siapa lagi mahu dicari bagi membina sebuah perhubungan itu.

Manusia disekeliling dia membisikkan bahawa menunggu kematian itu lebih baik daripada mengimpikan rasa perkahwinan. Kenyataannya, setiap madu atau racun yang mengalir daripada mulut bertinta entah apa daripada manusia lain hanya mampu membuatkan dia tersenyum dan anggukkan kepala. Ampuh, bisa dan kebal sudah hatinya. Tiada rasa

Kadangkala dia lebih suka tidur dan bermimpi apabila kenyataannya, menghadapi realiti seperti membiarkan diri diinjak dengan sesuka hati. Walaupun begitu, dia lebih suka menjadi pemerhati kerana penderitaan manusia adalah sebahagian daripada perang psikologi dan sosiologi yang dia amati.

Tiga tahun lamanya dia memberikan ruang kepada diri ini untuk kembali sembuh dan hidup kembali. Tentunya kemunculan dia tidak sama seperti yang dahulukala. Bisikan marah, mahu menyeret dia kembali kepada azalinya yang dikatakan lebih baik daripada dia yang berdiri kini. Dia senyum, tidak mahu menyuarakan apa-apa. Sekadar gelengan kepala yang tidak membawa apa-apa kepada penutur bicara. Satu lubang kecil dibina, membiarkan unsur luar masuk dan merasai apa itu hatinya. Dia mahu mewarna kembali dinding yang sejuk dan kelabu.

Kelabu bertukar biru.
Pelbagai warna dilukis dan dia mulai pandai ketawa ikhlas semula.
Bentuk aneh tetapi punya terjemahan sendiri mula pandai lekat pada jiwa.
Dia bilang hari dan waktu yang entah kenapa bergerak perlahan demi kuasai rasa.
Tetapi dia terlupa, betapa cepat gembira itu datang, sepantas itu ia akan pergi.
Warna ceria hitam kembali.
Terlampau pantas.
Dia terkedu.

Kalau dulu dia perlukan tujuh hari.
Kalau dulu, tempoh penyembuhan dan bangkit kembali takwim bertukar empat kali.
Tapi kini, dia sudah lebih kenal diri.
Dia perlukan hanya lima minit untuk senyum dan berdiri.
Sedikit hembusan kalam kepada hati.
Dia boleh ketawa geli hati.

Lagi

Akan tiba suatu saat apabila dia tidak akan lagi jadi persinggahan terakhir sesiapa. Akan tiba masa kegembiraan dan senyuman itu tidak perlu dia dapat dari sesiapa. Kerana dia menyedari sesuatu yang menarik apabila hati dilukai, dia tidak mampu mengingati apa perasaan sebelum segalanya musnah dan pergi.

Perempuan wujud kerana ada lelaki.
Lelaki wujud kerana ada perempuan.
Saling bergantung sesama sendiri.
Itu dia sendiri boleh baca dan kenal pasti serta memahami.

Nota Kaki :
Ketawa riang apabila membaca fakta bahawa bagaimana seseorang yang kita cintai dan mencintai boleh merosakkan sekeping hati, dan bagaimana seorang manusia itu dengan anehnya masih boleh menyayangi dan mengingati manusia sebegini.

….Menulis secara tergesa-gesa sebelum keluar dan hilang lagi.



**my favvy M&M**

Selamat datang ke bumi London & selamat datang ke bumi Hethel, Norwich :) dengan penuh senyuman dan semangat… Minggu ini bakal bepergian lagi. Kesibukan membuatkan nyawa masih mahu kuat dan tidak pernah mendengar bisikan letih dan penat dari tubuh yang semakin hari semakin tua umurnya. Senyum. Kau tipu aku bila kau kata senyuman aku penuh keletihan tahu?

No comments:

Post a Comment