Penglihatan ditiupi taufan dosa-dosa yang menghambat,
terhijab segala jalan juga kelibat diantara kelibat,
lantas kornea mata keimanan menjadi rosak,
sehingga gelap dunia seluruh sejagat.
Ritma kehidupan itu menjadi pelbagai bentuk dan corak,
seiring pertambahan umur, akal fikiran dan kudrat,
semakin meniti usia, atma dilanda gundah yang berat,
terduduk terasa ketulan besar bermukim dijiwa.
Jiwaku pecah
lantas mengeluarkan diri orang lain padanya
aku memberontak
gelojak perasaan ini tidak tertahan lagi
lalu aku rebah bersama perasaanku di sisian-Mu
menanti bayu dingin yang membelai jiwa nan sakit
terbaring lesu mengharap rawatan dari keajaiban Maha Ajaib.
Ku bangun dengan secebis kudrat yang ada
tiada pandangan warna hitam kelam cuma
dikeheningan malam zulmat yang membakar jiwa merobek binasa
aku serahkan diriku pada-Mu melamar ampunan nan Satu
jemputlah aku dengan segala kesakitan di tempat ribaan cinta kasih-Mu.
Nota kaki:
Adakalanya bila difikirkan pada suatu masa yang tiada asbab yang jelas untuk difikirkan. Kita tidak akan pernah mengerti mengapa kita boleh kenal seseorang yang asing, yang tidak pernah wujud sebelum ini dalam hidup kita, tapi bisa menjadi seseorang yang dekat di jiwa.
Malah, pertemuan itu tidak pula dipinta.
Saya terfikir begini; apa pesanan dari ALLAh Ta’ala lewat orang asing yang menjadi sahabat, seterusnya yang menjadi sudah seperti sebahagian keluarga, sudah menjadi sebahagian hidup dan menjadi sahabat yang dekat dijiwa. Apa sebenarnya lembaran hikmah yang ALLAh Ta’ala mahu khabarkan?
No comments:
Post a Comment