Saturday, October 1, 2011

Menyusuri...

Menelusuri hidup yang semakin lama semakin mencabar, dia menyedari sesuatu. Sesuatu yang mulanya dia tidak pernah ambil endah selama ini. Dia tahu, tapi segala yang dilalui membuatkan dia hanya mendiamkan diri. Hidup ini bukan apa-apa buat manusia seperti dia yang lebih tegar memasungkan wajah, tubuh dan jiwa pada kerjaya dan rutin harian yang biasa-biasa. Seorang teman pernah menyatakan secara senyap bahawa, dia adalah manusia biasa-biasa yang melalui kehidupan luar biasa. Dia sendiri tidak mengetahui apa itu semua. Yang dia tahu, dia adalah manusia yang sama seperti dahulunya.

Bezanya?

Dia lebih kenal apa dia mahu dalam dunia. Kehidupan dia yang biasa-biasa, teman-teman dia yang biasa-biasa dan kerjaya yang memuaskan hati dia. Cukup dengan itu semua dan dia punya kekuatan dan kelemahan yang harus dipertingkatkan dan dibaiki setiap kali dia berdiri di hadapan cermin empat segi. Ya, dia manusia yang kalah dengan dosa silam setiap kali melihatkan kecelakaan yang diri sendiri pernah timbulkan. Bila diingatkan kembali, dia rasa mahu bunuh sebahagian daripada neuron dan saraf diri. Bodoh, bebal dan jahanam sungguh peristiwa lampau berkalang noda.

Walaupun dia bukan sesiapa kepada sesiapa dalam hidup ini, dia percaya satu benda nyata yang buka minda dia seiring dengan dia buka mata setiap awal pagi lepas kembalinya nyawa. Satu kenyataan yang dia senyum sendirian sebelum menutup mata walaupun jam bergerak meninggalkan dinihari. Dia masih lagi hamba, makhluk ciptaan Yang Maha Kuasa. Yang punya tanggungjawab diri.
 
Tidak.

Dia tidak pernah langsung menyalahkan sesiapa dalam dunia ini. Sedar apa yang berlaku atas kelemahan diri, kebodohan dan entah apa lagi sifat mazmumah dalam tubuh sendiri membuatkan dia rasa lebih kuat untuk membasuh segala kecelakaan yang bersimpongan. Lemah bukan beerti dia kalah, kuat bukan bermaksud dia akan sentiasa menang. Itu dia selalu ingatkan pada diri sendiri. Ah, manusia kan mudah lupa.

Nota kaki:  Kita tidak perlu memuaskan hati semua orang. Kita adalah pengarah hidup kita, penulis dalam hidup kita dan juga, kita adalah pelakonnya.

No comments:

Post a Comment